Mengaku tak salah, berbaiah, miliki item berkaitan pengganas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memberi sokongan terhadap kumpulan pengganas Daesh dengan berbaiah dan memiliki item berkaitan kumpulan militan itu, tahun lepas.

Wan Amirul Azlan Jalaludin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Kes ini pertama kali disebut di Mahkamah Tinggi di sini selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Amirul didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu dengan cara berbaiah di sebuah rumah di Perumahan Awam 3, Jalan RPA 2/3, Kampung Gajah pada 9.03 pagi, 24 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau berniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki item yang berunsur perbuatan pengganas atau berkaitan dengan kumpulan pengganas di lokasi sama pada 7.20 pagi, 6 Januari lalu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!