Seludup dadah guna kotak coklat
![Polis merampas dadah jenis ketamin berjumlah RM19,800 dipercayai cuba diseludup ke negara Arab Saudi.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/07/24/776216.jpg)
SHAH ALAM - Taktik seorang ejen sewa kereta menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke Arab Saudi gagal selepas ditahan di Subang Jaya Isnin lalu.
Cubaan itu disedari oleh petugas ibu pejabat syarikat perkhidmatan kurier terbabit yang curiga selepas menerima bungkusan kotak coklat daripada warga Nigeria berusia 36 tahun kira-kira jam 1.30 petang Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, siasatan mendapati bungkusan kotak berkenaan mengandungi 132 gram ketamin dianggarkan bernilai RM19,800 dan kiriman menggunakan nama wanita yang tidak wujud.
"Susulan itu, siasatan lanjut dilakukan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di cawangan syarikat kurier itu. Suspek berjaya dikenal pasti sebelum diberkas di kawasan berhampiran kira-kira jam 3.15 petang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
![Abdul Latiff](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/07/24/776215.jpg)
Abdul Latiff berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Civic dan wang tunai RM8,069 disyaki hasil penjualan dadah.
Katanya, siasatan juga mendapati suspek yang telah berkahwin dengan warga tempatan itu berada di negara ini sejak 10 tahun lalu.
"Suspek juga disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lalu dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya.
Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!