Ajal jatuh kolam ketika basuh tangan
JELEBU - Seorang warga emas maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam tadahan untuk menyiram tanaman dalam kejadian di kebun pisang, Felcra Lakai di sini, kira-kira jam 11.50 pagi, hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Azmi Wahab berkata, Hew Ah Yoon, 66, dari Semenyih, Selangor dipercayai berada lokasi itu dengan mengikut anak saudaranya.
"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam yang digunakan untuk menyiram tanaman di kebun itu ketika mahu mencuci tangan. Anak saudaranya cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun gagal sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 pagi dan tiba di lokasi pada jam 12.10 tengah hari bersama 10 anggota dengan satu jentera. Mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengesan mangsa sebelum mayatnya ditemui di dasar kolam sedalam 10 kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!