Jakel Trading dapat semula RM10 juta disita SPRM
KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini gagal menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM10,747,042.77 yang disita daripada Jakel Trading yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangguhkan keputusan mahkamah pada 3 Mac lalu yang menolak permohonan melucut hak wang tersebut terhadap pembekal borong tekstil itu.
Pada 17 Mac lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan itu dan menghalang wang tersebut dikembalikan kepada responden sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Permohonan itu kemudian dijadualkan untuk didengar hari ini.
Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pihak pendakwa gagal menunjukkan situasi khas untuk mewajarkan mahkamah membenarkan penangguhan keputusan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh berkata, wang tersebut tidak harus dikembalikan kerana semuanya akan dibelanjakan oleh responden.
"Kami tidak mempunyai jaminan untuk mendapatkan wang itu jika kes ini berjaya di Mahkamah Rayuan," katanya.
Peguam Thevini Nayagam, yang bertindak untuk syarikat itu berkata, syarikat itu memperoleh pendapatan tahunan berjumlah ratusan jutaan ringgit dan mempunyai keupayaan untuk membayar balik wang tersebut jika pendakwa berjaya dalam rayuan mereka.
Ketika ditemui Bernama selepas prosiding itu, Thevini berkata, pihaknya akan segera menghubungi Maybank untuk meminta pelepasan sejumlah RM10 juta kerana lebih dua tahun akaun syarikat itu dibekukan.
Pada Jun tahun lalu, SPRM memfailkan permohonan melucutkan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!