LZS bantu warga emas dihalau dari rumah sewa
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil tindakan pantas membantu seorang lelaki warga emas yang berkerusi roda dan terpaksa hidup gelandangan di dalam sebuah kereta selepas dihalau dari rumah sewanya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, LZS memaklumkan Skuad Saidina Umar (SSU) menerima maklumat dari ibu pejabat pada Isnin lalu berhubung keadaan warga emas itu yang telah dihalau dari rumah sewa milik majikannya dan terpaksa hidup dalam kereta di sebuah stesen minyak berhampiran Petaling Jaya.
LZS berkata, warga emas berkenaan perlu keluar dari rumah sewanya berikutan dia telah diberhentikan kerja ekoran mengalami masalah kesihatan.
"Dia sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan pernah terlibat dalam beberapa siri kemalangan yang menyebabkan patah tulang paha dan pecah usus.
"Malah lelaki warga emas itu juga telah menjalani pembedahan serta berada dalam proses pemulihan. Kami dilaporkan, bekas majikannya telah memberhentikannya dan tidak membenarkan dia tinggal di rumah sewa itu lagi," katanya.
Mengulas lanjut, LZS berkata, sebelum ini, warga emas berkenaan tinggal di rumah sewa majikannya itu bersama seorang anak perempuan berusia 15 tahun manakala isterinya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu ekoran komplikasi diabetes.
"Anaknya kini menumpang berteduh di rumah seorang rakan buat sementara waktu kerana dia risaukan keselamatannya jika ikut sama bergelandangan dalam kereta," katanya.
Dalam pada itu, LZS memaklumkan pihaknya telah mendapatkan rumah sewa buat warga emas terbabit yang sebelum itu ditempatkan sementara di pusat jagaan mereka.
Tambahnya, LZS juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berhubung mana-mana pihak yang memerlukan di negeri ini.
"Kami cuba membantu dan menyantuni seberapa ramai mungkin masyarakat di luar sana namun orang ramai perlu menjadi mata dan telinga bagi menyampaikan maklumat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!