Individu pulang dari luar negara tidak dibenar pilih stesen kuarantin

Menurut garis panduan ditetapkan, pendaftaran PUS dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Foto 123RF
Menurut garis panduan ditetapkan, pendaftaran PUS dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua individu di bawah pengawasan (PUS), melibatkan warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan wajib menjalani kuarantin 14 hari di stesen kuarantin, tidak dibenarkan memilih stesen kuarantin yang telah ditetapkan untuk mereka.

Ini berdasarkan 'Garis Panduan Proses Kemasukan dan Kuarantin Person, Under Surveillance (PUS) Yang Tiba Dari Luar Negara Bermula 24 Julai 2020', yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut garis panduan itu, pendaftaran PUS dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sekretariat pendaftaran, akan menyelaras penerimaan PUS dan pengurusan logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 atau pintu-pintu masuk udara, laut dan darat, di seluruh Malaysia.

“PUS perlu mempamerkan LoU (Surat Aku Janji dan Indemniti) kepada petugas. Sekretariat di Pintu Masuk Antarabangsa, akan mengaturkan keperluan logistik PUS ke Stesen Kuarantin yang ditetapkan,” demikian catatan dalam garis panduan itu, yang boleh dicapai di laman web NADMA; www.nadma.gov.my.

Berkuat kuasa hari ini, kerajaan mewajibkan mana-mana individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara, agar menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel, berdasarkan kos dipersetujui sebelum ini dan bukan lagi di rumah, dan mereka yang terlibat juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan.

Ini berikutan kegagalan sesetengah individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, tetapi keluar ke tempat awam dan makan di restoran, seperti yang viral di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Kerajaan juga membenarkan anak berusia 12 tahun ke bawah, berkongsi bilik dengan ibu bapa di stesen kuarantin ditetapkan, dengan syarat mereka pulang dari tempat yang sama, serta perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi pelajar tajaan, penaja diminta menanggung kos kuarantin pelajar yang terlibat dan pelajar daripada keluarga B-40 pula, boleh memohon pengecualian bayaran, sementara kerajaan menanggung kos kuarantin pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar, kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP mahupun nasihat kerajaan dalam menangani koronavirus (Covid-19).

Sejak kebelakangan ini beliau berkata, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah, namun didapati berada di tempat awam.

Menurut beliau, analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 hingga 20 Julai, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO), tidak menggunakan fungsi ‘Home Assessment Tool’. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!