Lelaki meninggal dunia ketika bersujud di gurun
JEDDAH - Seorang lelaki Arab Saudi berumur 40 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di padang pasir di Wadi Al Dawasir, wilayah Riyadh pada Ahad minggu lalu.
Menurut portal berita Gulf News, sebelum ini, lelaki tersebut, Dhuwaihi Hamoud al-Ajaleen dilaporkan hilang ketika mengutip kayu api di sebuah gurun.
Polis kemudian melakukan gerakan mencari dan akhirnya menemui Dhuwaihi di sebuah gurun tetapi dalam keadaan sudah tidak bernyawa tiga hari selepas kehilangannya.
Menurut laporan beberapa buah akhbar tempatan, pasukan penyelamat menjumpai dia dalam keadaan sedang bersujud beberapa meter dari kenderaannya.
Satu rakaman video menunjukkan anggota-anggota pasukan itu menghampiri Dhuwaihi dan sebuah kenderaannya yang dipenuhi dengan kayu api.
Ia menunjukkan dia mengumpulkan kayu api tersebut untuk keluarganya.
Pasukan penyelamat sebelum ini melakukan gerakan mencari dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan peluncur.
Rakaman video yang menunjukkan Dhuwaihi meninggal dunia ketika sedang sujud itu kemudian menjadi tular di laman sosial. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!