Perbandingan Slim dan Chini

Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai lalu. - Foto Bernama
Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS tiga minggu selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) di Chini, ada satu lagi PRK yang mendatang. Kali ini PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada penghujung bulan Ogos. PRK DUN Slim di Perak adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebagai negeri yang mempunyai kerusi DUN paling banyak di Malaysia (59 kerusi DUN), mungkin PRK Slim dijangka lebih menarik berbanding PRK Parlimen Chini.

Secara perbandingan, PRK Parlimen Chini hadir ketika politik negara beralih tumpuannya disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19). Pada masa yang sama, signifikan PRK Parlimen Chini juga tidak begitu ketara disebabkan kekuatan majoriti kerusi diperoleh Perikatan Nasional (PN) dalam DUN Pahang.

Untuk rekod, PN menguasai 33 kerusi daripada jumlah 42 kerusi dalam DUN Pahang. Dengan demografi pengundi Melayu yang besar sekitar 91 peratus dan berada di bawah Parlimen Pekan yang sinonim dengan pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak selama 11 penggal, ia barangkali menjadi faktor mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding pada PRK lalu.

Bagaimanapun, PRK Parlimen Chini masih mencatatkan peratusan mengundi yang baik sebanyak 73.8 peratus, hampir sama dengan PRK Tanjung Piai.

PRK Slim barangkali sedikit berbeza. Mungkin kita boleh menjangkakan PH bertanding. Walaupun DUN Slim kubu kuat PN terutama UMNO, PH menguasai Parlimen Tanjong Malim dan dua DUN di dalamnya iaitu Sungkai dan Behrang.

Seperti Chini, Slim juga adalah kawasan yang mempunyai pengundi Melayu agak tinggi (sekitar 75 peratus) berbanding Behrang (62 peratus) dan Sungkai (19 peratus).

Ketika PRU14, dua kawasan majoriti orang Melayu ini, Slim dan Behrang, memperlihatkan trend pengundian berbeza. Yang jelas, pertandingan tiga penjuru calon Melayu ketika itu memperlihatkan hasil berbeza bagi kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Slim masih kekal di tangan UMNO, manakala Behrang kembali dirampas Parti Keadlian Rakyat (PKR), hanya dengan kelebihan majoriti 409 undi. Ketika itu, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berjaya mengekalkan DUN Slim untuk penggal keempat.

Apa yang berlaku di Slim ketika ini serupa dengan yang berlaku di Chini. Penyandang sebelumnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun juga merupakan ADUN Chini selama empat penggal sejak tahun 2004.

Beliau menjadi ‘calon boleh menang’ UMNO dan sentiasa menang dengan majoriti yang amat besar. Sama ada Chini mahupun Slim, ia mempunyai dua persamaan ketara iaitu mempunyai peratusan pengundi Melayu yang besar serta calon yang bewibawa dan berketrampilan.

Pada PRK Chini, tiga faktor membawa kemenangan besar BN ialah calon sesuai, kerjasama erat UMNO dan Pas serta kesan 'feel good factor' daripada pelan rangsangan ekonomi dan moratorium dilakukan kerajaan ketika pandemik Covid-19.

Apakah tiga faktor itu akan direplikasi pada PRK di Slim dan mampukah ia memberikan hasil pulangan serupa?

Masih awal untuk membaca, apatah lagi meramalkan kesudahan PRK Slim. Cuma mungkin sedikit gusar, apakah PRK Slim akan memberikan indikasi bahawa PRU15 akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Jika diperhatikan pada PRK Parlimen Chini, walaupun tanpa cabaran daripada PH, jentera BN meriah dengan kehadiran tokoh-tokoh utama mereka. Adakah kehadiran mereka di sana untuk berkempen dan menjual diri bagi melobi untuk tercalon lagi?

Jika itulah yang berlaku, maka di Slim dijangkakan lebih ramai dan meriah berbanding Chini. Bukan apa, sambil melobi dan berkempen, boleh juga curi kesempatan untuk jadi pelancong politik.

Inilah peluang untuk merasai pau bandar Tanjong Malim yang terkenal sambil-sambil beriadah di Kolam Air Panas Ulu Slim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!