#NEWS TIMBALAN KETUA POLIS NEGARA PASAL COVID Polis lebih agresif kekang Covid-19 di Sarawak
KUCHING, 24 Julai -- Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor meninjau tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Mes Pegawai Kanan ketika mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Sarawak hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (dua, kiri).
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan tindakan segelintir individu yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak berkenaan.
"Bukan sahaja kompaun, kita akan melaksanakan tangkapan sebab kita masih ada undang-undang yang membolehkan kita menangkap dan sebagainya mereka ini yang sengaja tidak mempedulikan serta mengabaikan semua aspek SOP yang telahpun digariskan," katanya.
Tindakan sedemikian terpaksa dilakukan bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 tidak sia-sia, kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 60 pegawai dan anggota Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di sini hari ini.
Menurut Mazlan, statistik kompaun yang dikenakan terhadap orang awam yang melanggar SOP juga menunjukkan peningkatan ekoran pemantauan agresif dan berterusan oleh pasukan petugas pemantau itu.
"(Usaha memastikan pematuhan SOP) ini merupakan satu perkara yang harus kita lipat gandakan supaya masyarakat khususnya di sini tidak ambil mudah situasi semasa penularan wabak Covid-19," katanya.
Mengenai cadangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching, beliau berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak manakala pihak polis akan membantu memantau dan mengenakan kawalan lebih ketat berhubung perlaksanaan SOP oleh semua pihak yang terlibat.
Menyentuh majlis yang dihadirinya itu, beliau berkata penghargaan itu diberikan kepada anggota dan pegawai terbabit kerana berjaya menolak tawaran rasuah sekali gus mengekalkan integriti pasukan Polis Diraja Malaysia.
"Jumlah rasuah yang berjaya ditolak anggota dan pegawai ini adalah lebih kurang RM163,000 iaitu sepanjang 2009 sehingga 2020 dan ini jelas satu nilai yang besar," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!