Tuntutan saman Tun M: Azalina serah kepada mahkamah
KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili tuntutan saman dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya dan Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun.
Azalina berkata, tuntutan saman itu bagi menentukan kedudukan beliau sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sama ada sah atau tidak.
"Memandangkan ia berada dalam pertimbangan mahkamah, saya sebagai seorang pengamal undang-undang menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk mengadili perkara tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Mahathir bersama empat lagi pemimpin kelmarin memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina.
Beliau bersama anaknya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula terhadap Azhar dan Azalina.
Saman pemula itu juga difailkan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Kuala Lumpur.
Dalam saman pemula itu, kelima-lima plaintif menamakan keempat-empat mereka sebagai defendan pertama hingga keempat.
Mereka memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lalu masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.
Bagaimanapun, Azalina tetap mempertahankan pelantikannya itu tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat atau Perlembagaan.
Menurutnya, Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.
"Mahkamah Tertinggi dalam keputusan terhadap kes bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dan Datuk R Ganesan memutuskan bahawa sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Speaker.
"Isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa Mahkamah untuk membuat penghakiman," katanya.
Tegas beliau, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan beliau dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 6, Dewan Rakyat dibacakan.
"Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!