'Saya perlukan rumah untuk berteduh'

Bilik sewa di Kampung Jawa yang menjadi tempat tujuh beranak berteduh dari panas dan hujan.
Bilik sewa di Kampung Jawa yang menjadi tempat tujuh beranak berteduh dari panas dan hujan.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang ibu tunggal memohon bantuan rumah daripada pihak berkenaan selepas bilik sewa yang didiami mereka sekeluarga sebelum ini di Kampung Jawa di sini akan dirobohkan.

Siti Rafizah Moslan, 27, berkata, dia bersama enam anaknya berusia 12 hingga tiga tahun termasuk seorang bayi berusia 25 hari menyewa bilik itu dengan kadar bayaran RM80 sebulan.

Menurutnya, walaupun bilik itu agak usang namun bersyukur dia dan keluarganya mempunyai tempat berteduh sejak mendiaminya lebih setahun lalu.

Bagaimanapun katanya, bilik yang menjadi tempat tidur, tempat bermain anak-anak dan tempat dia memasak itu akan dirobohkan tidak lama lagi untuk dibaik pulih.

Siti Rafizah (kiri) ditemani ibunya (kanan) bersama anak-anaknya yang masih kecil tinggal di bilik sewa itu sejak lebih setahun lalu.
Siti Rafizah (kiri) ditemani ibunya (kanan) bersama anak-anaknya yang masih kecil tinggal di bilik sewa itu sejak lebih setahun lalu.

"Saya sekeluarga diarah berpindah kerana bilik sewa ini perlu dibaik pulih dan pemilik juga ada maklumkan bahawa saya tinggal melebihi bilangan sepatutnya selain tidak sesuai untuk anak-anak.

"Saya buntu memikirkan masalah ini. Saya tidak tahu ke mana harus saya tinggal selepas ini," katanya.

Dia yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah hotel berharap pihak berkenaan dapat membantunya sekeluarga mencari tempat untuk berteduh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia mendiami bilik itu sejak lebih setahun lalu kerana tidak berkemampuan untuk menyewa rumah.

"Saya dan anak-anak pernah tidur di tepi sungai Melaka dan berpindah-randah sebab tidak mampu memiliki rumah sendiri," katanya yang berasal dari Rumbia, Alor Gajah.

Bilik kecil yang didiami ibu tunggal bersama enam anaknya termasuk bayi berusia 25 hari di Kampung Jawa.
Bilik kecil yang didiami ibu tunggal bersama enam anaknya termasuk bayi berusia 25 hari di Kampung Jawa.

Difahamkan keluarga ini mendapat bantuan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM200 sebulan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bilik itu bukan sahaja sempit malah bumbung turut berlubang selain keadaan bilik yang dibina menggunakan papan itu juga semakin usang.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi membantu keluarga terbabit.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima kami mendapati pelbagai agensi akan membantu bagi menyelesaikan isu seperti penempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!