Tiga suspek kes samun diberkas
KLANG - Polis memberkas tiga individu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah samun dalam dua tangkapan berasingan sekitar Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang, Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 31 tahun di Jalan Bandar Baru Klang kira-kira jam 2 pagi.
Menurutnya, dua individu itu ditahan dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia yang berada di tepi jalan tersebut dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik pegawai dan anggota polis memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri dan melanggar dua buah kereta polis.
"Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar depan dan belakang kereta suspek untuk mempertahankan diri dan memberhentikan kenderaan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Shamsul Amar Ramli berkata, pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui dua peket plastik disyaki syabu seberat 5.31 gram, pelbagai alat yang digunakan untuk pecah masuk rumah, telefon bimbit, penutup muka hitam serta peralatan menghisap dadah.
Katanya, hasil soal siasat ke atas dua suspek itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di Bandar Bukit Raja.
"Ketiga-tiga suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan samun.
"Kesemua mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!