Kembali kepada UMNO: Terpulang kepada Muhyiddin
IPOH - Cadangan kemasukan semula pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam UMNO tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebaliknya berkata, dalam mesyuarat parti sebelum ini, perkara yang dibincangkan hanya melibatkan kerjasama dengan UMNO.
Menurutnya, Bersatu mempunyai budaya gerakan politik yang lebih berhala tuju untuk membangunkan semula negara dan memperbaiki kelemahan sebelum ini.
"Terpulang kepada Tan Sri Muhyiddin nak memikirkan (cadangan sertai semula UMNO). Adakah ini membawa satu kebaikan kepada Malaysia.
"Dalam mesyuarat Bersatu tak pernah dibincangkan. (Soal) kerjasama memang kita bincang tapi tidak ada bincang ke arah itu (sertai semula UMNO)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Koperasi Negeri Perak di sebuah hotel di sini hari ini.
Mohd Redzuan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin daripada parti itu pada tahun 2016 sekiranya mahu menerimanya semula.
ARTIKEL BERKAITAN: Ubah keputusan pecat Muhyiddin
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Mohamad itu, Mohd Redzuan berkata, semua pihak berhak mengemukakan pandangan peribadi masing-masing, namun ia terserah kepada Muhyiddin untuk menentukannya.
Menurutnya, beliau secara peribadi yakin Muhyiddin akan kekal bersama Bersatu yang diasaskan mereka bersama sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!