Warga Singapura mengaku jadi ejen asing China

Yeo Jun Wei
Yeo Jun Wei
A
A
A

WASHINGTON - Seorang warga Singapura semalam mengaku bersalah menggunakan kepakaran politiknya di Amerika Syarikat (AS) bagi mengumpulkan maklumat untuk risikan China.

Jabatan Kehakiman AS memaklumkan individu dikenali sebagai Yeo Jun Wei atau Dickson Yeo itu membuat pengakuan terhadap tuduhan beroperasi secara tidak sah sebagai ejen asing itu di Mahkamah Persekutuan di Washington.

Menurut Jun Wei, dia mengaku bekerja untuk risikan Beijing antara 2015 dan 2019 bagi mengenal pasti rakyat Amerika yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam yang berharga termasuk kakitangan kerajaan dan tentera AS dengan akses keselamatan yang tinggi.

Lelaki terbabit turut membayar beberapa individu untuk menulis laporan kononnya untuk pelanggan di Asia sebaliknya dia menyerahkannya kepada pemerintah China.

Menerusi kenyataan fakta yang dikemukakan kepada mahkamah dan ditandatangani Jun Wei, dia mengaku bertemu ejen di Beijing beberapa kali dan turut diberikan layanan istimewa apabila berkunjung ke negara terbabit.

Pengakuan bersalah itu dibuat selepas Jun Wei yang ditahan sejurus tiba di AS pada November 2019 didakwa menjadi ejen kepada kerajaan asing yang tidak dinamakan.

Difahamkan, dia direkrut oleh perisik China ketika di Universiti Nasional Singapura pada 2015.

Jun Wei pernah melakukan kajian dan menulis tentang Inisiatif Jalur dan Laluan China yang bertujuan untuk memperluaskan rangkaian komersial global negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada awalnya, tugasan beliau memfokuskan negara Asia lain sebelum beralih kepada AS.

Menurut akaun LinkedIn milik Jun Wei, dia bekerja sebagai penganalisis risiko politik yang memberi fokus kepada Beijing dan negara ASEAN serta merapatkan jurang antara Amerika Utara dan Beijing serta Tokyo dan Asia Tenggara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!