Kerajaan disyor lakukan PKP bersasar
SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar sebagai langkah menang-menang bagi mengelakkan gelombang kedua koronavirus (Covid-19) dan tidak merencatkan pemulihan ekonomi.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, PKP bersasar berkenaan seperti pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) yang dilakukan di kawasan zon merah.
"Kalau kerajaan mahu memperketatkan SOP, jangan kembali seperti PKP pertama dulu sebaliknya laksanakan secara bersasar seperti PKPD yang dilakukan di kawasan tertentu.
"Kalau ini dapat dibuat, kesan negatif terhadap ekonomi ekoran langkah perketatkan semula SOP ini tidaklah besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Kerajaan hari ini bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, kes negatif daripada keputusan memperketatkan semula SOP itu dijangka menyebabkan proses pemulihan ekonomi akan perlahan semula.
"Sekarang kita tengok pasaran saham dan jumlah eksport negara semakin pulih dan prestasinya meningkat.
"Jadi sekiranya SOP diperketatkan atau SOP ketika PKP pertama dikembalikan akan melambatkan proses pemulihan ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan itu untuk memperketatkan SOP bagi membendung peningkatan kes berdasarkan sikap sebahagian besar rakyat ketika ini yang dilihat semakin tidak mematuhi SOP terutama apabila berada di restoran dan pasar raya.
"Apabila kadar jangkitan semakin besar, lengkungan yang dilandaikan akan naik semula. Kerajaan tidak ada pilihan melainkan mengetatkan semula SOP.
"Sebenarnya apabila lengkungan ini makin naik, kos menyelamatkan negara juga makin besar. Sebab itu kerajaan perlu guna pendekatan tegas. Namun sebagai langkah menang-menang, saya cadangkan dilaksanakan PKP bersasar," katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah mengetatkan SOP harus dilaksanakan dengan teratur supaya tidak merencatkan usaha pemulihan ekonomi.
"Keputusan kerajaan untuk mengetatkan SOP bertujuan memastikan gelombang kedua Covid-19 tidak berlaku namun perlu dibuat secara teratur.
"Sebagai contoh, saya berpendapat kerajaan tidak perlu menutup semula sektor yang telah dibenarkan beroperasi sebelum ini tetapi memastikan sektor-sektor ini mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, langkah mewajibkan pelitup muka untuk individu yang berada di tempat awam bermula 1 Ogos depan juga merupakan langkah perlu kerana ia membolehkan rakyat dan perniagaan menjalankan urusan seharian seperti biasa tanpa mana-mana sektor ditutup seperti sebelum ini.
Tambah beliau, pada masa yang sama, pemantauan ke atas pematuhan SOP harus dipertingkatkan dengan meningkatkan jumlah lawatan ke kawasan yang berpotensi menjadi kluster baharu seperti pasar raya, pasar basah, gedung membeli belah termasuk restoran dan medan selera.
Selain itu katanya, rakyat juga digalakkan menggunakan aplikasi yang disediakan oleh kerajaan untuk memudahkan pemantauan dan penganalisaan data seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!