Sarawak mungkin laksana sekatan perjalanan

Sekatan perjalanan mungkin dikenakan terhadap pelancong atau masyarakat luar yang ingin masuk ke Sarawak jika kes Covid-19 terus meningkat. - Gambar hiasan
Sekatan perjalanan mungkin dikenakan terhadap pelancong atau masyarakat luar yang ingin masuk ke Sarawak jika kes Covid-19 terus meningkat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Sarawak mungkin mengenakan sekatan perjalanan terhadap pelancong atau masyarakat luar yang ingin memasuki negeri itu jika situasi penularan tempatan Covid-19 terus meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun ia akan menjejaskan industri pelancongan, langkah itu perlu memandangkan ia satu-satunya kaedah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik tersebut.

"Tanpa sebarang amaran, terdapat peningkatan yang mendadak (kes Covid-19) dan ini bukan jangkitan dari luar sebaliknya jangkitan tempatan dan menunjukkan bagaimana bahayanya kalau kita tidak menjaga pergerakan kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Beccari Discovery Trail di Bukit Matang di sini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sentiasa memantau situasi semasa penularan Covid-19 di negeri itu khususnya di Bahagian Kuching dan Samarahan yang menunjukkan peningkatan ketara sejak seminggu lepas.

Sebelum peningkatan itu, Abdul Karim berkata, kadar kemasukan pelancong ke Sarawak sudah mula menunjukkan kenaikan dengan purata kadar penghunian hotel di antara 50 dan 60 peratus dicatatkan sejak Jun sehingga kini.

"Kita menjangkakan pada September nanti kadar ketibaan pelancong ke negeri ini akan kembali seperti biasa," katanya.

Menyentuh Beccari Discovery Trail yang dilancarkan hari ini, Abdul Karim berkata, kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai antara tarikan pelancongan baharu di Sarawak.

"Tempat ini agak dekat iaitu kira-kira 17 kilometer dari bandar Kuching serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seorang ahli botani terkenal Odoardo Beccari pernah menjalankan penyelidikan berkaitan flora dan fauna di kawasan itu ketika era pemerintahan Raja Putih kedua iaitu Rajah Charles Brooke. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!