Kerajaan bincang tambah aset APM
IPOH - Kerajaan sedang berbincang bagi menambah aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan agensi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, selain sumbangan daripada pihak berkaitan, masih ada kelengkapan yang diperlukan agensi itu.
Aset baharu ini termasuk ambulans bagi membolehkan APM menggunakannya untuk menyelamatkan nyawa, katanya semasa berucap pada Majlis Lawatan Kerja dan Amanat kepada Warga APM Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh APM terutama dalam menangani ancaman pandemik Covid-19 di negara ini.
Katanya, meskipun terdapat pelbagai kekangan, APM tetap unggul dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan yang diamanahkan khususnya membabitkan pengurusan bencana.
"Oleh itu, saya sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan akan berusaha untuk meletakkan APM di tempat sewajarnya dan sebaris dengan agensi yang perlu ada dalam setiap aspek bencana negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!