PRK DUN Slim: Bersatu sah tidak bertanding

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos depan untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi berkenaan.

Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Bersatu Bahagian Tanjung Malim yang berlangsung malam tadi.

Beliau berkata, keputusan tersebut sekali gus menepis pihak tertentu yang tular di media sosial mendakwa Bersatu akan bertanding dalam PRK itu.

"Keputusan ini dibuat bagi menghormati semangat kerjasama Perikatan Nasional (PN) yang disertai UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

"Kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak sebelum ini di media sosial, bukanlah pendirian atau mewakili Bersatu Bahagian Tanjung Malim," katanya menurut laporan sebuah portal berita tempatan hari ini.

Mohd Amran berkata, dalam mesyuarat itu, pihaknya turut mengemukakan pendirian untuk menyokong sesiapa sahaja calon UMNO yang akan bertanding dalam PRK tersebut.

Sementara itu, Mohd Amran turut kesal dengan kenyataan yang tular itu dan mendakwa ia sengaja ditimbulkan untuk merosakkan hubungan baik parti dalam PN.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khusairi mengekalkan kerusi tersebut selama empat penggal selepas menewaskan Mohd Amran (Bersatu) dan Muhammad Zulfadli Zainal (Pas) dengan majoriti 2,183 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!