Terengganu sokong SOP PKPP diperketat

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyokong cadangan kerajaan Persekutuan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ekoran tahap pematuhan rakyat semakin longgar.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemerhatian di lokasi tumpuan awam termasuk pasar raya dan kedai makan di negeri ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 10 Jun lalu mendapati ramai yang tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Selain itu, penggunaan pelitup muka tidak dijadikan rutin ketika berada di tempat awam.

“Ramai yang masih bersalaman dan tidak dapat mengamalkan normal baharu dalam aktiviti harian seolah-olah sudah benar-benar ‘bebas’ daripada ancaman Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP PKPP diketatkan semula: Ismail Sabri

“Setakat ini kita lihat di masjid dan surau sahaja yang benar-benar mematuhi SOP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu katanya, beliau turut menyokong sekiranya kerajaan bercadang mengenakan perintah kuarantin di pintu masuk negara bagi individu yang pulang dari luar negara berbanding kuarantin di rumah.

“Lebih elok sekiranya mereka yang pulang dari luar negara walaupun negatif Covid-19 mesti dikuarantin di tempat mendarat kerana mereka berisiko untuk menjadi kluster baharu.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu perkara sebegini berulang kerana mereka yang dikuarantinkan di rumah berpotensi untuk bergerak ke lokasi lain," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKPP susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh hampir seminggu ini.

Dalam perkembangan sama, Terengganu mencatatkan satu kes baharu Covid-19 membabitkan seorang warga Malaysia dari Terengganu yang pulang dari Nigeria disahkan positif Covid-19 pada 16 Julai lalu dan diklasifikasikan sebagai kes import.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!