Klopp nafi Liverpool sombong
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp kembali membalas kenyataan pengurus Chelsea, Frank Lampard yang mengatakan skuad The Reds sebagai sombong ketika berlangsungnya aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield baru-baru ini.
Kenyataan itu tercetus apabila Lampard bertikam lidah dengan penolong jurulatih Liverpool, Pepijn Lijnders ekoran satu insiden kekasaran terhadap pertahanan The Reds, Trent Alexander-Arnold pada babak pertama.
Namun, Klopp menolak kenyataan itu sambil menegaskan, Lampard sepatutnya belajar untuk tidak berdepan sebarang pertelagahan dengan mana-mana pemain atau pegawai pasukan.
“Sebagai seorang yang profesional dalam tugas, anda tidak boleh menempelak saya atau sesiapa sahaja di tempat duduk dengan sesuatu seperti itu kerana sebenarnya kami tidak sombong.
“Saya banyak bercakap sebelum ini berkaitan emosi, Chelsea datang ke Anfield untuk menang atau mendapatkan satu mata dan layak ke Liga Juara-Juara, saya amat menghormatinya.
“Tetapi apa yang perlu dipelajari Frank ialah menamatkan percakapannya selepas wisel terakhir tetapi dia tidak melakukannya. Selepas perlawanan, semuanya sudah tamat,” katanya.
Insiden panas yang berlaku ketika itu menjadi viral apabila setiap kata-kata yang keluar dari mulut Lampard jelas kedengaran di stadium kosong tersebut.
“Saya rasa dalam aspek bahasa yang telah saya gunakan, saya amat menyesal. Ini kerana saya rasa ia terlalu banyak dimainkan kembali di media sosial,” ujar Lampard.
Dalam pertemuan itu, Liverpool meraih kemenangan bergaya 5-3 sebelum meraikan pesta menjulang trofi EPL buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!