Pakar kesihatan sokong langkah perketat semula SOP

Amalan norma baharu seperti penjarakan sosial perlu dipantau dan dikuatkuasakan.
Amalan norma baharu seperti penjarakan sosial perlu dipantau dan dikuatkuasakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan menyokong penuh langkah terbaru kerajaan memperketatkan semua prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, SOP baharu diperlukan untuk membendung penularan wabak menjadi lebih serius termasuk kawalan pergerakan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama ia perlu mengambil kira pertumbuhan ekonomi dan kehidupan sosial rakyat.

"Kerajaan perlu meneliti dan memfokuskan kepada SOP dan tidak terlalu am atau menyeluruh. Amalan norma baharu mesti dipantau dan dikuatkuasakan. Ujian saringan juga perlu lebih menyeluruh.

"Perkara yang perlu diberi tumpuan ialah kemasukan, penempatan, tempat kerja warga asing, tempat tumpuan awam, orang yang di kuarantin dan kawasan panas.

"Kawalan pergerakan termasuk semasa Aidiladha hanya bagi kawasan kes aktif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada masa sama beliau berkata, belum tiba masanya kerajaan mengambil langkah membuka pintu sempadan buat masa ini susulan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk membenarkan sempadan dibuka kepada negara zon hijau.

"Boleh buka sempadan dengan syarat ketat contoh dari negara yang dikategorikan risiko rendah, sebab khas dan kuarantin wajib setelah tiba. Pembukaan sempadan pula memerlukan masa dan bergantung kepada kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman turut mengalu-alukan langkah mengetatkan semula sebahagian SOP, bergantung pada skop yang relevan.

Dr Malina Osman
Dr Malina Osman

Katanya, sekatan semula perjalanan rentas negeri bergantung kepada pola jangkitan semasa namun sekiranya data semasa memberikan indikasi keperluan untuk penangguhan (sekatan), ia perlu dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan rakyat di negara ini.

"Bagaimanapun, secara umum saya berpendapat kes pada masa ini lebih menunjukkan gejala ringan dan sederhana.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan sistem pemantauan (surveilan) jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan kesihatan di hospital, klinik, pusat jagaan warga emas dan pusat kanser secara konsisten.

"Pemantauan perlu sentiasa dibuat secara rawak tanpa menunggu ada kes pesakit.

"Kita ada lebih 20 kluster yang masih aktif, dua kluster melibatkan jumlah agak tinggi iaitu 16 kes masing-masing kluster Sentosa dan Kluster Rumah Warga Emas. Kluster tersebut boleh dielakkan melalui pemantauan berterusan saringan Covid-19 yang dilaksanakan dalam kalangan kakitangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!