Wanita sarat mengandung maut digilis treler

Nur Amirah Izzati maut di tempat kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Permatang Buloh malam tadi.
Nur Amirah Izzati maut di tempat kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Permatang Buloh malam tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Wanita sarat mengandung maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Permatang Buloh di sini malam tadi.

Dalam kejadian kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa Nur Amirah Izzati Ahmad Rohaizat, 19, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat digilis sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan melanggar lampu isyarat merah sebelum berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa tercampak ke tengah jalan raya sebelum digilis sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun.

"Mangsa yang hamil tujuh bulan mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat manakala pemandu treler dan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih lagi dijalankan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syafinaz Abd Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!