Pesona lancar Hospital Starter Kit bantu pesakit kanser
KUANTAN - Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona) membekalkan kelengkapan asas Hospital Starter Kit untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.
Buat julung kalinya Pesona berjaya menyediakan 300 Hospital Starter Kit dengan peruntukan dana RM36,000 untuk diagihkan kepada 300 pesakit yang menjalani rawatan onkologi.
Pengerusinya, Wan Shahriza Wan Ab Rahman berkata, Hospital Starter Kit yang berharga RM120 setiap satu itu dilengkapi antaranya termometer, pelitup muka, tuala, tisu basah, set mandian,selimut dan cecair pensanitasi tangan.
Menurutnya, kelengkapan itu amat diperlukan pesakit yang akan menjalani rawatan selain membantu meringankan beban keluarga mereka.
"Kelengkapan asas yang dibekalkan ini memudahkan adaptasi pesakit kanser dan keluarga ketika menjalani rutin rawatan di wad onkologi.
"Bagi keluarga yang diuji dengan anak-anak menghidap kanser, ramai yang terpaksa 'berkampung' di hospital kerana rawatannya panjang jadi kita tampil untuk membantu mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Hospital Starter Kit Pesona oleh Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia di sebuah hotel di Indera Mahkota petang semalam.
Pada majlis itu, seramai 60 kanak-kanak yang menghidap kanser dari pantai timur Semenanjung menerima Hospital Starter Kit.
Wan Shahriza berkata, pihaknya mengadakan kempen selama tiga bulan untuk mengumpul dana bagi tujuan tersebut.
"Memandangkan negara berdepan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya menggunakan saluran media sosial untuk menjalankan kempen.
"Alhamdulillah walaupun kempen ini tanpa publisiti meluas, ramai penyumbang prihatin tampil menyumbang sama ada dalam bentuk wang tunai dan barangan," katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, syarikat korporat diharap dapat tampil membantu persatuan seperti Pesona melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjayakan misi mereka dalam membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.
"Bantuan juga boleh dihulur terus kepada keluarga atau pesakit terlibat sebagai tanda sokongan kepada mereka," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbang ke akaun Maybank 556093257184 (Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser) dan sebarang maklumat lanjut boleh dilayari melalui www.facebook.com/persona.malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!