PKR tak jadi letak calon di DUN Slim

MA Tinagaran
MA Tinagaran
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk MA Tinagaran berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa negara yang sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan beberapa situasi yang membebankan rakyat.

Beliau berkata, pengumuman awal untuk bertanding pada PRK itu sebelum ini lebih bersifat untuk mempertahankan mandat rakyat dan kawasan itu.

"Selepas beberapa perbincangan yang dibuat, kita fikir adalah tidak wajar sama sekali untuk kita membebankan rakyat bagi melalui proses pemilihan ataupun pilihan raya memandangkan rakyat kini menderita dengan Covid-19, masalah ekonomi, kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

"Jadi ini bukan masa yang sesuai untuk berpolitik sebaliknya masa paling sesuai untuk menunjukkan kematangan politik kita dengan meletakkan keutamaan rakyat terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tinagaran berkata, keputusan itu juga sudah dimaklumkan dengan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) Perak di dalam mesyuarat yang berlangsung kelmarin di Ipoh.

Katanya, PH Perak bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai perkara tersebut.

Jelas beliau, dengan keputusan itu, tiada kemungkinan berlaku pertembungan antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan Bersatu Blackout lebih kepada mempertahankan kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

"Itu keputusan PKR setakat ini, tetapi situasi agak dinamik. Kita akan lihat keutamaan kepada kebajikan rakyat kerana tidak mahu menyusahkan mereka," katanya.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini antara pemimpin terawal menyatakan kesediaan bahawa PKR akan bertanding di kerusi DUN Slim pada PRK yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

Bagaimanapun, bekas pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir menyatakan pihaknya akan bertanding pada PRK DUN Slim.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Blackout tanding PRK DUN Slim

Namun PH kemudiannya mengumumkan akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan Dr Mahathir berhubung calon yang akan bertanding pada PRK itu bagi berdepan gabungan PN.

ARTIKEL BERKAITAN: PH nafi serah kumpulan Tun M tanding PRK DUN Slim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!