PKP semula jika kes baharu Covid-19 cecah tiga angka

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam negara mencecah tiga angka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara merekodkan trend peningkatan kes dua angka berturut-turut sejak empat hari lalu.

Katanya, laporan oleh Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa peningkatan itu berikutan kealpaan diri sendiri dan lupa serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) hingga akhirnya menyebabkan kes merebak semula.

“Kalau dua angka kita masih boleh bertoleransi tapi kalau sampai tiga angka seperti mula-mula PKP dilaksanakan dulu, kita mungkin tiada pilihan akhirnya kita akan menguatkuasakan semula PKP untuk semua.

“Jika PKP dilaksanakan, yang sukarnya adalah kita sendiri kerana tak boleh berniaga, tak boleh bekerja, kena duduk di rumah dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab, di sini hari ini.

Ismail Sabri ketika melawat anggota veteran ATM di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu hari ini.
Ismail Sabri ketika melawat anggota veteran ATM di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap belum lagi terlewat untuk bertindak dan SOP untuk Aidiladha akan diumumkan esok.

“Setakat ini rentas negeri masih lagi dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita keluarkan arahan nanti dan peraturan kepada SOP yang baharu kita harap semua patuh,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP dan tidak mengharapkan pasukan keselamatan semata-mata.

“Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keluarga terdekat supaya mengikut SOP ditetapkan.

“Perkara yang membimbangkan apabila Aidiladha nanti ada acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan,” katanya.

Beliau berkata, pintu sempadan negara juga masih ditutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!