Pemandu mabuk lawan arus di Kesas ditahan
KLANG - Seorang lelaki yang memandu melawan arus dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dari Bandar Puteri menghala ke Jalan Kebun di sini ditahan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemandu terbabit ditahan kira-kira jam 2.10 pagi oleh sepasukan anggota peronda Lebuhraya Kesas.
"Ujian pernafasan yang dilakukan mendapati lelaki berusia 31 tahun itu berada dalam keadaan mabuk.
"Suspek dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Pendamar, Klang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, suspek telah dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan untuk siasatan lanjut dan kereta jenis Honda City yang dipandunya turut dirampas.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hari ini, satu video berdurasi 23 saat dirakam orang awam yang melalui lebuhraya itu dimuat naik di media sosial Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!