Arteta dedah punca prestasi buruk The Gunners
KETUMPULAN jentera serangan dan kegagalan mencipta peluang di hadapan gol menjadi punca persembahan Arsenal musim ini dikategorikan paling buruk dalam tempoh 25 tahun.
Ia diakui pengendalinya, Mikel Arteta yang melihat ia masalah utama yang perlu diperbaiki Arsenal sekiranya mahu menjadi pencabar terkuat dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.
Statistik Liga Perdana mencatatkan The Gunners hanya mampu mencipta 47 percubaan berbahaya ke gawang lawan dan berada di kedudukan ke-13 pasukan dalam saingan liga.
Sebagai perbandingan, Manchester City berada di kedudukan teratas dengan mencipta 107 percubaan berbahaya, disusuli Liverpool dengan 88 manakala Chelsea dan Leicester City masing-masing dengan 73 dan 69 percubaan yang dicipta.
Statistik yang dilakar Arsenal jelas membuktikan bagaimana pasukan Utara London itu ketandusan gol dan hanya mampu menjaringkan 53 gol dalam saingan EPL musim ini.
"Angka-angka dan statistik itu tidak berbohong. Ia menunjukkan pasukan tidak bagus. Ada aspek tertentu dalam setiap perlawanan yang kami dapat kawal seperti yang sepatutnya.
"Kami gagal mencari penyelesaian kepada masalah tersebut musim ini dan akhirnya kami gagal meraih kedudukan lebih baik dalam saingan liga," katanya.
Arsenal gagal mengakhiri saingan EPL dalam kelompok enam pasukan terbaik-prestasi yang sangat buruk buat The Gunners dalam tempoh 25 tahun terakhir.
Menurut Arteta, masalah tersebut akan menjadi perkara utama yang akan diperbaiki musim depan dengan menambah lebih sengat di bahagian serangan pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!