Pusat media digital dibuka di Arab Saudi
MINA - Kementerian Media Arab Saudi membuka secara rasminya sebuah kemudahan perkhidmatan digital yang canggih untuk para pemberita membuat liputan tentang perjalanan musim haji tahun ini, lapor Saudi Press Agency pada 25 Julai lalu.
Perkhidmatan itu membolehkan wartawan menerima bahan-bahan berita, menemu bual para pegawai dan pemegang taruh serta menyertai persidangan akhbar secara langsung.
Ia juga akan menjadi platform bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pemberita dan mendapatkan komen-komen tentang musim haji tahun ini.
Perkhidmatan itu disediakan dalam bahasa Inggeris dan Arab serta dikenali sebagai Pejabat Virtual Haji.
Menurut laporan SPA, wartawan tempatan dan luar negara boleh memperoleh perkhidmatan eksklusif seperti gambar yang berkualiti tinggi dan rakaman video.
Ratusan wartawan Arab Saudi bersama kira-kira lebih 2,500 pemberita antarabangsa berdaftar dengan sebuah pusat pangkalan data akan menerima e-mel masing-masing.
Kandungan e-mel itu akan digunakan untuk pendaftaran nama di platform digital sekali gus membolehkan mereka memperoleh manfaat daripada Pejabat Akhbar Virtual. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!