PRK Slim: Kita hendak lawan BN bukan Anwar
SHAH ALAM - Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bekas Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, tujuan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim adalah untuk melawan Barisan Nasional (BN) bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Masa bila kita berebut dengan PKR kerana sebelum ini kerusi itu adalah kerusi Bersatu. Bersatu yang bertanding dan Bersatu yang ada sekarang telah memberikan kerusi itu kepada UMNO, (BN).
"Keputusan kita mengatakan bahawa itu adalah kerusi Bersatu maka kita rasa perlu untuk kita meletakkan calon. Kita nak lawan dengan Barisan Nasional bukan dengan Anwar," katanya kepada Sinar Harian.
Marzuki berkata, pihaknya sudah membuat ketetapan untuk meletakkan calon menentang calon Perikatan Nasional (PN) diwakili BN dalam PRK berkenaan pada 29 Ogos depan.
Ketika ditanya mengenai calon dan tahap keyakinan beliau dalam PRK berkenaan yang mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru atau lebih, Marzuki berkata, pemilihan calon masih belum diputuskan.
Selain itu, Marzuki menegaskan bahawa parti yang bertanding dalam pilihan raya sudah pasti hendak mencapai kemenangan.
"Kita sudah buat ketetapan (untuk bertanding). Kita masuk pilihan raya ini dengan harapan hendak menang walaupun (pada pilihan raya) dahulu kita kalah, tetapi kita akan terus berkempen," katanya.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!