Penempatan haram Bukit Malut dipindah ke lokasi baharu
ALOR SETAR - Kerajaan negeri bersetuju untuk memindahkan penduduk yang tinggal secara haram di atas tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, Langkawi ke lokasi baharu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun segala keputusan berhubung isu penempatan haram itu terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Berhubung isu Bukit Malut, saya ada cadangan memindahkan penduduk yang dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) itu ke satu lokasi lain.
"Saya telah meminta satu pihak untuk berbincang dengan MKN memandangkan 100 peratus penduduk MIK di bawah bidang kuasa MKN," katanya ketika diminta mengulas isu penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi.
Menurut Muhammad Sanusi, tanah-tanah yang diduduki masyarakat MIK merupakan tanah milik pelbagai pihak termasuklah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sejak sekian lama.
"Tanah-tanah itu ada tuannya tetapi mereka telah duduk sekian lama dan secara berleluasa. Jadi, kita akan pindahkan dan saya yakin MKN akan bersetuju dengan cadangan memindahkan MIK ke lokasi lain," katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, lokasi dicadangkan untuk penempatan baharu masyarakat MIK terbabit dirahsiakan buat sementara waktu.
"Saya minta wakil berbincang dengan MKN. Bagi pihak kerajaan negeri, kita bersetuju namun semua bergantung kepada MKN," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan isu penempatan haram Bukit Malut, Langkawi yang didakwa makin membesar dengan lebih banyak rumah dibina dan tapak diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyempurnakan Majlis Perasmian Star View Menara Alor Setar di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!