PBJM fokus dua kejuaraan antarabangsa tahun depan
PERSATUAN Bola Jaring Malaysia (PBJM) akan memberi fokus dua kejohanan antarabangsa pada 2021 selepas bola jaring tidak dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam.
Dua kejohanan itu adalah Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Fiji dari 10 hingga 19 Jun 2021 selain Temasya Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia keenam dari 21 hingga 30 Mei di Thailand.
Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md Noh berkata, badan induk itu akan menghantar barisan campuran melibatkan pemain senior dan remaja sewaktu acara bola jaring membuat penampilan sulung pada kejohanan di Bangkok itu dengan sasaran muncul juara.
“Bagi Kejohanan Remaja Dunia di Fiji, kami menyasarkan untuk memperbaiki ranking kita daripada kedudukan ke-17 pada edisi 2017 di Bostwana kepada kelompok 14 pasukan terbaik memandangkan beberapa kuasa besar dunia seperti juara bertahan New Zealand, Australia, England dan Jamaica dijangka menguasai kedudukan teratas kejohanan berkenaan.
“Berhubung dengan Sukan SEA tahun depan, saya difahamkan Vietnam tidak berhasrat menganjurkan bola jaring disebabkan mereka tiada pemain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zainon berkata, ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Lisa Ann Beehag dari Australia akan kembali semula ke tanah air sekiranya kerajaan membuka pintu sempadan kepada pelawat asing.
Katanya, latihan skuad senior kebangsaan ketika ini dikendalikan Choo Kon Lee dan Aminah Asaari bagi memastikan pemain berada dalam tahap terbaik sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa selepas ini.
“Lisa sempat melatih skuad senior kebangsaan selama dua minggu pada Februari dan Mac lalu, sebelum kembali ke Australia memandangkan beliau terikat dengan komitmen sebuah kelab bola jaring di sana.
“Jadi agak sukar untuk dia kembali semula ke Malaysia ketika ini memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan kepada pelawat asing susulan penularan pandemik Covid-19. Namun jurulatih Choo dan Cikgu Aminah sentiasa berhubung dengan Lisa secara maya bagi mengekalkan stamina pemain skuad senior,” jelas Zainon.
PBJM sebelum ini melantik Beehag selaku pengendali baharu skuad senior kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia di Jeonju, Korea Selatan pada Jun tahun ini namun kejohanan berkenaan dibatalkan susulan pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!