Bekas ketua hakim Korea Selatan kena berkas
SEOUL - KOREA SELATAN. Bekas ketua hakim Korea Selatan ditahan pada Khamis atas tuduhan penyalahgunaan kuasa kerana campur tangan dalam perbicaraan yang memihak kepada bekas presiden, Park Geun-hye.
Yang Sung-tae memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Agung selama enam tahun sehingga persaraannya pada 2017.
Dakwaan dikenakan pendakwa raya itu adalah setebal kira-kira 260 muka surat dan mengandungi 40 pertuduhan termasuk salah guna kuasa dan membocorkan rahsia negara.
Sung-tae, 71, menjadi bekas hakim pertama ditangkap dalam kes yang mencetuskan persoalan tentang pemisahan kuasa dan kebebasan badan kehakiman di negara itu.
Beliau didakwa cuba menubuhkan mahkamah rayuan berasingan yang gagal direalisasikan selain cuba mengganggu kes untuk memenangi sokongan politik Geun-hye.
Bekas ketua hakim itu juga dituduh cuba menangguhkan perbincangan dalam saman ganti rugi yang dibangkitkan oleh bekas buruh paksa era perang terhadap syarikat Jepun ketika Geun-hye berusaha untuk memulihkan hubungan dengan Tokyo. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!