KPWKM sasar tiga kali ganda penyaluran bantuan
BERA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjangkakan kenaikan tiga kali ganda jumlah penyaluran bantuan kepada penerima terpilih berikutan peningkatan kadar baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementerian telah memperuntukkan RM1.53 bilion setahun untuk penyaluran 11 bentuk bantuan kepada lebih 500,000 penerima manfaat daripada pelbagai kumpulan sasar.
Menurutnya, jumlah tersebut berdasarkan PGK RM980 sebulan sebelum ini.
"Kementerian menyambut baik penetapan kadar baharu PGK sebanyak RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah berdasarkan metodologi 2019 berbanding RM980 sebulan mengikut metodologi 2005 sebagaimana yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 10 Julai 2020.
"Kementerian berpandangan, penetapan kadar PGK baharu ini adalah bertepatan dengan realiti sebenar kehidupan rakyat Malaysia," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ziarah Komuniti di Taman Merbau Indah, di sini hari ini di rumah keluarga Nik Hamid Nik Kub, 50, yang terlantar akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.
Ujar Rina lagi, keadaan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) juga telah membawa implikasi besar terhadap sosioekonomi sebahagian rakyat.
"Kadar baharu yang bertepatan dengan realiti semasa akan membolehkan strategi dan pendekatan yang lebih tepat dirangka dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan khususnya berkaitan pembasmian kemiskinan serta peningkatan taraf sosioekonomi," jelasnya lagi.
Tambahnya, kementerian bersama semua jabatan dan agensi terbabit sedang meneliti secara terperinci dasar serta program sedia ada.
Jelasnya, tindakan tersebut menzahirkan keprihatinan dan ketelusan kerajaan hari ini untuk menangani permasalahan rakyat dengan mengenal pasti situasi sebenar taraf hidup rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!