Kita masih belum menang
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika berkongsi berita gembira menyebut, kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Selain itu, kadar kematian Covid-19 di Malaysia juga antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus
Namun, usaha berterusan memerangi virus Covid-19 masih belum berakhir. Menjadi tanggungjawab rakyat perlu terus kekal berwaspada dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) supaya sasaran untuk kita mencapai sifar Covid-19 dapat direalisasikan.
Kita sebenarnya masih belum berjaya lagi. Pandemik Covid-19 masih lagi menghantui dunia dan Malaysia. Pengalaman beberapa buah negara menunjukkan kes baharu terus berulang apabila lockdown dihentikan.
Ia disebabkan sikap masyarakat yang leka, tidak lagi mematuhi SOP, tidak memakai pelitup muka dan tidak melakukan penjarakkan sosial.
Kelekaan dan melupakan kehidupan normal baharu mengundang padah. Kita sebenarnya masih belum menang menangani Covid-19. Jika pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita bersepadu dan bekerjasama untuk mematuhi SOP, kenapa pada akhir-akhir ini pula kita melupakannya?
Ramai menganggap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai kebebasan tanpa syarat dan ambil kesempatan untuk keluar beramai. Masih bersesak dan seolah-olah hidup kembali normal. Sedangkan kita masih lagi pada fasa waspada dan melawan Covid-19.
Kerajaan memberi kelonggaran dengan memberi ruang kepada peniagaan dan perkhidmatan untuk merangsangkan ekonomi negara. Covid-19 menjejaskan banyak sektor ekonomi.
Ramai yang hilang pekerjaan, syarikat gulung tikar dan hilang mata pencarian. Tindakan proaktif perlu dilakukan bagi mengelakkan Malaysia berhadapan dengan ‘wabak eknomi’ yang lebih teruk.
Kerajaan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi kembali beroperasi. Kita perlu bangkit dan kembali memulihkan ekonomi yang terjejas. Golongan B40, terdiri daripada penjaja, peniaga industri kecil, perlu mengorak langkah dek terjejas pendapatan mereka.
Namun operasi itu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM). Antaranya, pihak kerajaan menetapkan hanya pekerja warganegara Malaysia dibenarkan untuk bekerja di premis dan perlu menjalani saringan Covid-19.
Namun pemerhatian menunjukkan masih ramai warga asing yang menjadi penjual di kedai pakaian, menjadi pelayan di restoran tanpa sekatan oleh mana-mana pihak. Tindakan tegas perlu diambil dengan menutup premis yang dikendalikan oleh warga asing.
Sekolah juga telah beroperasi semula. Walaupun pihak sekolah telah melaksanakan SOP terbaik di sekolah, namun tiada SOP dalam van dan bas sekolah. Masih lagi bersesak dan ramai pelajar yang tidak memakai pelitup muka.LekaPerintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan ramai yang mula melanggar SOP yang ditetapkan. Segelintir pengunjung restoran tidak lagi mendaftar dan melakukan saringan. Sesetengahnya tidak menulis nama dan nombor telefon yang betul kerana tiada yang menjaganya. Pihak peniaga pula tidak memastikan pengunjung melakukan saringan sebelum memasuki premis.
Jelas ramai peniaga yang ambil enteng. Sikap ambil mudah peniaga menyebabkan mereka disaman.
Tidak mustahil PKP akan diperketatkan semula sekiranya masih ramai yang gagal mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan itu dijalankan.
Sudah tentu ramai yang tidak mahu PKP diteruskan. Selama tempoh tiga bulan pertama PKP cukup memberikan kita banyak pengajaran dan teladan.
Namun ia tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran daripada PKPP. Jika ramai yang melanggar SOP dan tidak patuh dengan ketetapan, berkemungkinan besar PKP asal (fasa satu hingga tiga) perkenalkan semula. bermaksud pergerakan kita akan dibataskan kembali.
Marilah kita bersama-sama melawan dengan mematuhi peraturan dan saringan. Kita masih belum menang. Adalah lebih baik kita nikmati kebebasan bersyarat walaupun terdapat SOP perlu dipatuhi supaya pada akhirnya kita dapat menamatkan sekatan menangani Covid-19.
* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!