Pengorbanan tempuh ranjau perubahan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BERKORBAN apa sahaja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Bait-bait puitis lagu Berkorban Apa Saja gubahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Jamil Sulong itu sesuai dihayati pada saat kita tercari-cari erti pengorbanan yang sebenarnya.

Lirik lagu itu menunjukkan bagaimana prinsip diri seseorang yang sanggup melepaskan sesuatu yang bernilai tinggi demi mendapatkan sesuatu yang lebih berharga dan berkekalan. Persoalannya, wujudkah lagi individu berprinsip sebegini dalam organisasi sewaktu ia berhadapan ranjau perubahan persekitaran yang menikam dari pelbagai arah?

Ada yang berpendapat berkorban untuk organisasi semasa ia dilanda musibah tidak menjanjikan apa-apa, sebaliknya kelangsungan kendiri harus diutamakan. Pandangan itu ada munasabahnya, kerana organisasi tidak mungkin mampu menawarkan yang muluk-muluk sebagai balasan atas pengorbanan warganya yang setia pada saat hayatnya juga nyawa-nyawa ikan.

Penulis bagaimanapun berpandangan sebaliknya. Bagi penulis, inilah masanya warga secara bersama berkorban apa sahaja, menggembleng usaha dan pemikiran untuk membantu organisasi bangkit semula membina kekuatan selepas melalui ranjau yang menyakitkan.

Warga organisasi perlu sedar bahawa perubahan persekitaran sama ada disebabkan oleh virus pandemik atau Industri 4.0 turut mengubah ekosistem dan organisma di Bumi, terutamanya organisasi. Bukan semua perubahan boleh diterima dengan mudah kerana ia memberi impak kepada pelbagai spektrum kehidupan.

Perubahan menimbulkan cabaran seperti keselamatan kerjaya, kesihatan, kelangsungan perniagaan, kemahiran sumber manusia, peluang pekerjaan dan produktiviti. Cabaran tersebut bukan sahaja menimbulkan perasaan bimbang dan cemas dalam diri warga organisasi, malah meletakkan organisasi dalam ketidakpastian. Ini kerana aset utamanya iaitu sumber manusia bakal dilanda pelbagai isu berkait kesihatan fizikal dan mental, manakala organisasi pula bakal menghadapi isu kesepadanan teknologi dan struktur dengan persekitaran.

Bagi mengurus semua isu yang menjejaskan warga dan organisasi akibat perubahan, semua pihak mesti berganding bahu menggembleng tenaga menghadapinya dengan berani. Pengorbanan yang merupakan ikatan psikologi antara warga dengan organisasi amat diharapkan daripada mereka.

SetiaIkatan itu mampu mencetuskan komitmen, keeratan dan rasa setia. Kesetiaan dalam konteks pengorbanan pekerja kepada organisasi adalah perasaan sayang dan cinta seseorang warga itu terhadap institusi dan organisasi di mana dia bekerja. Seorang warga organisasi yang setia akan terus berkhidmat di situ tanpa pernah memikirkan kebarangkalian bertukar kerja atau berhenti, walaupun semasa organisasi berhadapan dengan pelbagai tekanan perubahan yang mungkin menimbulkan masalah kewangan dan pengurusan.

Artikel Berkaitan:

Pekerja yang setia akan terus melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh, memberi sokongan kepada usaha membangun semula organisasi, bersedia untuk pemotongan gaji sementara serta berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran baharu yang mungkin diperlukan pada masa akan datang.

Organisasi tidak harus menangguk di air keruh atas kesetiaan yang ditunjukkan oleh warganya. Ia sebaliknya perlu mengguna pakai apa sahaja strategi mampan yang telah dirancang bagi menyuburkan rasa setia pekerja terutamanya dalam kalangan pekerja cemerlang.

Di pihak pekerja pula, mereka digesa berfikiran realistik tanpa mengharap balasan segera atas pengorbanan yang dipamerkan kerana organisasi sedang melalui detik-detik sukar ketika ini. Hanya dengan pemahaman yang jelas dan sifat empati yang tinggi, kedua-dua pihak akan pasti berjaya mengharungi kesakitan akibat ranjau perubahan.

Justeru, erti pengorbanan yang sebenarnya perlu hadir dalam setiap jasad dan roh warga organisasi. Pengorbanan jujur warga secara kolektif akan menjana keutuhan organisasi. Ia juga mampu menghindarkan penyakit hati seorang insan seperti iri hati, dendam, dan khianat demi pembinaan organisasi yang ampuh dan terus lestari.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!