Zulhijjah yang berbeza
DALAM masa 100 tahun terakhir ini, tidak pernah dunia dicengkam wabak yang melanda berbulan-bulan tanpa surut. Malahan wabak ini, pada hujung Julai 2020, terus merebak dan bertambah dahsyat di banyak negara.
Elok kita lihat statistik landaan penyakit Covid-19 ini dahulu. Walaupun ketepatan laporan dari negara-negara di dunia boleh dipersoalkan, statistik ini tetap menjadi panduan terbaik setakat ini untuk dunia dan negara serta individu yang mengikuti perkembangan serta usaha mitigasi penyakit yang mengancam ekonomi, kesihatan serta ketenteraman manusia sejagat.
Setakat jam 6 petang pada 26 Julai 2020 bersamaan 5 Zulhijjah 1441, data Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kes penyakit Covid-19 sedunia adalah sebanyak 16,055,909 sementara 644,661 kematian jiwa telah dilaporkan. Mari kita lihat juga statistik empat buah negara: Amerika Syarikat, Indonesia, Malaysia dan Arab Saudi.
Amerika Syarikat berada di tempat teratas. Jumlah kes: 4,178,730; jumlah kematian: 146,463 manakala jumlah pulih: 1,279,414.
Indonesia berada di tempat ke-24. Tiada negara ASEAN yang mengatasi negara jiran kita ini. Jumlah kes: 97,286; jumlah kematian: 4,714 manakala jumlah pulih: 55,354.
Malaysia berada di tempat ke-83. Dalam beberapa bulan sejak Covid-19 diisytiharkan sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, negara kita terus menggelongsor dari tempat yang jauh lebih tinggi ke tempat sekarang. Namun kita masih belum bebas daripada penyakit ini. Jumlah kes: 8,897; jumlah kematian: 124 manakala jumlah pulih: 8,600.
Arab Saudi berada di tempat ke-13. Jumlah kes: 264,973; jumlah kematian: 2,703; jumlah pulih: 217,782.
Selalunya sekitar 2.5 juta jemaah haji menunaikan ibadah haji pada bulan Zulhijjah. Tahun ini tiada jemaah haji dari luar negara Arab Saudi dibenarkan, sementara negara itu sedang bertarung dengan landaan penyakit Covid-19 yang belum surut lagi. Yang dibenarkan adalah sekitar 1,000 jemaah haji pelbagai bangsa yang bermastautin di Arab Saudi.
Ibadah haji tahun ini dijangka bermula pada 28 Julai. Para hujaj wajib diuji untuk koronavirus dan mestilah dikuarantin di rumah selepas ibadah haji terlaksana. Pemakaian pelitup muka adalah wajib setiap masa bagi hujaj dan juga penganjur.
Memegang atau mengucup kaabah tidak dibenarkan dan penjarakkan fizikal sejauh 1.5 meter antara setiap jemaah haji sewaktu tawaf serta solat diwajibkan. Kunjungan ke Mina, Muzdalifah dan Arafah dihadkan kepada mereka yang mempunyai kebenaran bermula dari Ahad 19 Julai hinggalah 2 Ogos 2020.
Indonesia, Malaysia, Senegal dan Singapura telah lebih awal lagi tidak membenarkan ibadah haji dilaksanakan. Pakistan dan India yang masing-masing selalunya menghantar 180,000 dan 200,000 jemaah haji adalah antara negara Islam yang sangat terkesan.
Kita dapat membayangkan bagaimana Arafah nanti akan lebih sepi walaupun tasbih, tahmid dan takbir akan kedengaran sayu-sayuan.
Maha Agung ALLAH Tuhan Yang Esa. Dia sentiasa bersedia memberi hamba-Nya peluang pengabdian, pengampunan dan pahala. Pada 10 hari pertama Zulhijjah kita dapat terus beramal salih pada siang dan malam, bermunajat dan solat pada hujung malam, berpuasa pada hari Arafah serta melaksanakan korban setelah mendirikan salat Aidiladha. Ini di samping kita berdoa semoga wabak Covid-19 akan menghilang dengan izin ALLAH SWT Maha Penyembuh.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!