Lelaki lemas ketika mandi di Sungai Jin
KUANTAN - Kegembiraan 10 rakan berkelah sambil mandi-manda di Sungai Jin, Sungai Lembing, di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa, Ahmad Hasrul Hisyam Ahmad Fauzi, 33, dari Sungai Isap Perdana di sini dikatakan sedang mandi di kawasan lubuk sebelum hanyut dibawa arus deras.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian mangsa bersama beberapa rakan sedang mandi manakala rakan yang lain sedang menjamu selera.
Menurutnya, berdasarkan kenyataan saksi, mangsa beralih untuk mandi di kawasan lubuk yang agak dalam sebelum dihanyutkan arus.
"Kejadian disedari rakan apabila melihat mangsa tengelam timbul dan mereka cuba membantu namun gagal.
"Rakan mangsa menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat," katanya.
Mohamad Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dengan bantuan anggota bomba dan orang awam.
"Mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 6.40 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kejadian daripada MERS 999 pada jam 3.51 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota bersama seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi pencarian.
"Operasi turut dibantu oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan dengan kekuatan lima anggota dan seorang pegawai," katanya.
Anuar berkata, operasi SAR tamat pada jam 7.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!