Pahang bincang langkah perangi denggi Oktober depan

 Norol Azali Sulaiman
Norol Azali Sulaiman
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengadakan persidangan bagi membincangkan langkah-langkah untuk memerangi denggi di negeri ini pada Oktober ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, persidangan itu akan melibatkan wakil-wakil jabatan dan kerajaan Pahang serta media.

Menurutnya, dalam persidangan itu semua pihak terlibat akan berbincang bagaimana kaedah yang terbaik bagi menangani isu denggi di negeri ini.

"Persidangan ini kemungkinan akan diadakan pada bulan Oktober depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Norol Azali berkata, sebanyak enam kematian dilaporkan akibat denggi di negeri ini dari 1 Januari hingga 18 Julai lalu berbanding empat kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memandang serius jumlah kes kematian terutama peningkatan kes yang direkodkan ketika ini.

"Setakat 18 Julai lalu, sebanyak 1,762 kes demam denggi dilaporkan iaitu peningkatan 735 kes atau 72 peratus berbanding 1,027 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Semua daerah di negeri ini menunjukkan peningkatan kes kecuali di Temerloh dan Jerantut. Daerah Kuantan merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,241 kes atau 70.4 peratus di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norol Azali berkata, di Pahang sebanyak 92 lokaliti bermasalah dengan peningkatan 58.6 peratus berbanding 58 lokaliti bagi tempoh sama tahun lalu.

"Oleh itu, semua rakyat di negeri ini diminta meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk membersihkan sekitar rumah mereka bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!