Bomba selamatkan lelaki cuba terjun bangunan
KUANTAN - Anggota bomba berjaya memujuk seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun dari papan iklan di tingkat dua bangunan kedai di Jalan Mahkota di sini awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.08 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat diterima seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
"Ketika tiba di lokasi kejadian didapati seorang lelaki yang hanya berseluar dalam berada di atas papan iklan di tingkat dua sebuah bangunan dipercayai cuba membunuh diri.
"Tindakan pantas anggota bomba dan pihak polis berjaya memujuk dan menghalang lelaki tersebut dari terjun sebelum dia diselamatkan," katanya.
Anuar berkata, lelaki yang dipercayai kurang waras itu dibawa turun menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!