Moratorium: 394,000 peminjam ditawar struktur semula bayaran

394,000 peminjam dihubungi pihak bank untuk ditawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bayaran balik pinjaman apabila tempoh moratorium berakhir September ini. - Foto 123RF
394,000 peminjam dihubungi pihak bank untuk ditawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bayaran balik pinjaman apabila tempoh moratorium berakhir September ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 394,000 peminjam dihubungi pihak bank untuk ditawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bayaran balik pinjaman apabila tempoh moratorium berakhir September ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu seramai 75,000 adalah membabitkan peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menurutnya, langkah itu diambil bagi membantu peminjam yang masih terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, melalui media massa dan media sosial, peminjam juga disarankan untuk berbincang dengan bank masing-masing seawal

mungkin sekiranya masih menghadapi kekangan kewangan.

"Ini penting untuk memberi masa kepada peminjam membuat keputusan mengenai pelan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanyakan apakah bantuan yang diberikan kepada peniaga dan individu apabila moratorium yang berakhir September ini tidak dilanjutkan.

Tengku Zafrul berkata, usaha membantu peminjam perlu diseimbangkan dengan usaha bagi memastikan institusi perbankan kekal berdaya tahan agar mampu untuk terus membiayai kegiatan ekonomi dan menyokong proses pemulihan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Sepertimana yang pernah saya kongsi sebelum ini, kerajaan masih dalam perbincangan bersama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan mengenai langkah seterusnya," katanya.

Katanya, walau apa pun sektor perbankan memberi komitmen mereka untuk membantu rakyat dan perniagaan serta memainkan peranan mereka untuk terus menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Insya-ALLAH sebarang keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!