Peguam gagal jumpa Md Rayhan

C R Selva ketika ditemui pemberita hari ini. (Gambar kecil: Md Rayhan Kabir)
C R Selva ketika ditemui pemberita hari ini. (Gambar kecil: Md Rayhan Kabir)
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Peguam kepada warga Bangladesh yang bakal diusir, Md Rayhan Kabir gagal bertemu dengan anak guamnya yang berada di bawah tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

C R Selva berkata, ia berikutan surat permohonan yang dihantar menerusi e-mel semalam bagi tujuan itu belum diteliti JIM.

"Kita sudah hantar e-mel bagi membuat permohonan untuk berjumpa dengan anak guam kami, tetapi dimaklumkan oleh pembantu Ketua Pengarah bahawa ia belum diteliti kerana banyak surat diterima JIM sejak PKP," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan ibu pejabat JIM di sini, hari ini.

Tambahnya, Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud juga tiada di pejabatnya.

"Pembantu memaklumkan Khairul Dzaimee sedang bertugas di Parlimen," katanya.

Mengulas lanjut mengenai lantikan sebagai peguam, beliau berkata, firma guamannya dilantik oleh keluarga Md Rayhan pada 18 Julai lalu.

"Kami dilantik bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak mereka terjamin," katanya.

Md Rayhan, 25, yang sebelum ini diburu JIM bagi membantu siasatan berkaitan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ oleh Al Jazeera ditahan pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam dokumentari itu, Md Rayhan membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi membanteras penularan koronavirus (Covid-19).

Sabtu lalu, Khairul Dzaimee dalam kenyataannya berkata, lelaki itu akan diusir keluar dari negara ini serta merta dan diharamkan memasuki Malaysia selama-lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Md Rayhan diusir keluar

Suhakam dakwa usir Md Rayhan sebagai terburu-buru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!