Lampard tabik pencapaian Chelsea
Pengendali Chelsea, Frank Lampard berbangga dengan pencapaian skuad bimbingannya itu apabila mengakhiri cabaran dalam kedudukan empat terbaik saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20.
Bagaimanapun bekas bintang skuad The Blues itu berkata, pujian berkenaan sewajarnya diberikan kepada kesebelasan pemain hasil komitmen, dedikasi dan kerja keras sepanjang musim ini.
Malah menurutnya, kelab utara London itu akan kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara musim depan biarpun berdepan sekatan pembelian pemain pada awal musim.
“Saya sangat gembira biarpun sebanyak mana pujian diberikan kepada saya, namun saya tegaskan di sini semuanya adalah milik pemain Chelsea kerana sebenarnya ramai yang memainkan peranan besar seperti Kovacic dan Giroud. Mereka semua bersatu untuk apa yang telah kita capai bersama sebagai satu kumpulan.
“Kami ingin mencabar kejuaraan liga tetapi anda harus meletakkan tanda kurungan dan mengetahui bahawa ia memerlukan masa; ini ditambah dengna kehadiran kelab utara London lain seperti Tottenham Hotspur dan Arsenal yang menghabiskan secara purata 100 juta pound sterling musim panas lalu.
“Jadi apabila berada pada kedudukan keempat terbaik pada saya adalah satu pencapaian besar. Itu yang membuatkan saya sangat bangga,” katanya.
Pada masa sama, bekas pemain tengah Chelsea itu memuji sumbangan Olivier Giroud dan Mason Mount apabila dua jaringan kedua pemain itu memastikan tiga mata selepas menewaskan Wolves 2-0 pada aksi terakhir EPL di Stamford Bridge, kelmarin.
“Bagai saya, Mount mampu menjadi pemain berprestasi tinggi pada masa depan berdasarkan komitmen di padang yang tidak hanya menghasilkan jaringan tetapi juga memberikan bantuan gol.
“Selain itu, dia (Mount) juga boleh menjadi lebih baik lagi pada masa depan kerana dia masih muda, namun dia perlu kekal konsisten. Apabila anda melihat tekniknya sepakan percumanya, ia hanya boleh dilakukan pemain berstatus bintang sahaja.
“Untuk Olivier pula saya cukup bangga dengan komitmennya yang konsisten sejak Januari lalu walaupun tidak banyak beraksi berbanding Tammy Abraham yang banyak bermain. Secara jujur saya tidak pernah menyedari bakat Olivier tetapi situasi itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Lampard mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya walaupun berjaya mencipta impak positif pada debut sulungnya selaku pengurus Chelsea dalam saingan liga utama.
“Ketika anda melangkah di Chelsea, tuntutannya sangat besar untuk menang dari minggu ke minggu. Saya obses dalam cara saya bekerja dan saya belajar mendapatkan keseimbangannya dengan betul.
“Semasa di Derby County, saya tahu peranan dan tanggungjawab yang saya inginkan lakukan untuk kelab biarpun di media tetapi itu tidak menarik minat saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!