Sokongan keluarga beri kekuatan berdepan kanser
SEREMBAN - Walaupun perit untuk menerima hakikat selepas disahkan menghidap penyakit kanser payudara tahap dua namun seorang wanita di sini dapat menempuhi ujian itu dengan tenang hasil sokongan ahli keluarganya.
Shuhada Mohd Salim, 39, berkata, beliau sahkan menghidap penyakit itu pada Disember lalu.
"Ramai yang bila diuji dengan penyakit ini akan rasa hilang semangat seperti hidupnya tak bermakna lagi.
"Tapi saya bersyukur masih dapat atasinya dan suami serta anak-anaklah paling banyak bagi kata-kata semangat. Bagi saya merekalah yang beri saya kekuatan untuk laluinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Nyior di sini selepas menerima sumbangan daripada Yayasan Pendidikan Bumiputera dengan kerjasama UMNO Bahagian Seremban menerusi program Ampangan Prihatin.
Bercerita lanjut, Shuhada yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, beliau disahkan menghidap penyakit itu selepas menyedari ada ketumbuhan kecil pada payu daranya sebelah kanan.
Katanya, selepas itu beliau segera mendapatkan rawatan di hospital dan pada bulan Februari beliau menjalani pembedahan membuang sebelah payu daranya.
"Sebenarnya doktor bagi pilihan sama ada saya hanya mahu buang ketumbuhan itu saja bukan keseluruhan tapi katanya kanser itu berisiko untuk ada lagi.
"Itu sebabnya saya buat keputusan membuang keseluruhan. Saya bersyukur semua berjalan lancar dan kini dalam proses menghabiskan rawatan kemoterapi," katanya.
Menurutnya, golongan wanita dinasihatkan tidak berasa rendah diri jika diuji dengan penyakit itu dan dapatkan rawatan segera serta bukannya mengharapkan rawatan alternatif semata-mata.
"Teruskan kehidupan seperti biasa tanpa terlalu memikirkannya. Paling penting segera dapatkan rawatan.
"Selepas jalani pembedahan saya rasa kehidupan saya lebih baik. Cuma saya tidak boleh berada dalam keadaan panas kesan rawatan kemoterapi," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pendidikan Bumiputera, Mohd Asna Amin berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan sebuah pendingin hawa kepada Shuhada bagi membantunya menjalani kehidupan lebih selesa.
Katanya, menerusi yayasan itu pihaknya akan mengenal pasti mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!