KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis sebelum motosikalnya diseret sejauh 60 meter oleh kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 14.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam kejadian jam 12.55 tengah malam itu mengakibatkan Muhammad Izdi meninggal dunia di tempat kejadian. "Kejadian berlaku apabila penunggang motosikal dari Shah Alam menuju ke Ijok dipercayai terlebih dahulu digilis sebuah kenderaan berat yang masih belum dikenal pasti. "Pemandu kereta yang tidak menyedari kejadian itu kemudian melanggar motosikal mangsa yang berada di lorong kanan jalan tersebut," katanya kepada Sinar Harian. Ramli berkata, mangsa yang maut kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat. "Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.