Jong-un 'puas hati' kandungan surat Trump
PYONGYANG - KOREA UTARA. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sangat berpuas hati selepas menerima surat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjelang sidang kemuncak kedua, menurut media tempatan pada Khamis.
Agensi berita KCNA melaporkan, Jong-un telah membuat persediaan teknikal yang baik untuk mesyuarat itu yang dijadualkan pada bulan depan.
Surat itu diserahkan kepada pemimpin terbabit oleh timbalan pengerusi, Kim Yong Chol yang bertemu dengan Trump di Rumah Putih pada minggu lalu.
"Jong-un telah menetapkan keazaman luar biasa dan akan menyelesaikan isu tersebut dengan penuh minat dalam sidang kemuncak kedua terbabit. Pyongyang akan percaya dengan cara positif pemikiran Trump memandangkan kedua-dua negara sedang maju selangkah demi selangkah ke arah matlamat mereka," lapor KCNA.
Sabtu lalu, Trump memaklumkan lokasi untuk pertemuan itu telah diputuskan tanpa memberikan butiran lanjut.
Bagaimanapun, sumber kerajaan Vietnam memberitahu persediaan logistik telah dibuat untuk negara tersebut menjadi tuan rumah sidang kemuncak terbabit yang dijangka diadakan di Hanoi atau Danang.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu buat pertama kali di Singapura pada Jun lalu di mana mereka menandatangani perjanjian untuk melakukan langkah nyahnuklear di Semenanjung Korea. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!