Dua lelaki Bangladesh ditahan cuba sogok polis
JOHOR BAHRU - Dua lelaki Bangladesh ditahan malam tadi selepas cuba memberi rasuah RM10,000 kepada anggota polis bagi melepaskan lapan rakannya yang ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan meragukan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dua lelaki warga asing itu ditahan pada jam 11 malam semasa datang ke Balai Polis Danga Bay di sini.
"Lelaki berusia 35 dan 43 tahun itu mengaku rakan suspek dan menghulurkan RM10,000 kepada ketua balai berkenaan yang berpangkat inspektor.
"Wang tersebut sebagai imbuhan untuk melepaskan kesemua tangkapan yang dilakukan beberapa jam sebelum itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan dan wang tunai RM10,000 itu juga dirampas sebagai barang kes.
Katanya, sebelum itu pada jam 6.30 petang semalam, satu serbuan menerusi Ops Benteng dilakukan di sebuah kondominium sekitar pusat bandar.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihak polis menangkap lapan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk sudah tamat tempoh.
"Semasa pemeriksaan dokumen dibuat kedua-dua lelaki Bangladesh itu datang ke balai polis dan cuba memberi rasuah.
"Semua suspek ditahan reman selama 14 hari bagi tujuan semakan status ketulenan dokumen pengenalan diri menerusi Jabatan Imigresen," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun manakala akta imigresen pula denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
"Orang awam dinasihatkan supaya melaporkan jika terdapat mana-mana penjawat awam yang cuba atau telah menerima wang sogokan. Mereka yang melakukan kegiatan ini akan diambil tindakan sehingga dituduh di mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!