Banci 2020 di Pahang bermula 7 Julai ini
KUANTAN - Pahang akan melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 bermula 7 Julai hingga 24 Oktober ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, banci itu akan dilaksanakan dengan dua fasa membabitkan 1.6 juta penduduk dan 428,000 kediaman di negeri ini.
Menurutnya, fasa pertama bermula 1 Julai lalu hingga 30 September 2020 manakala fasa kedua bermula 7 hingga 24 Oktober 2020 dengan melibatkan 4,584 pembanci.
"Banci 2020 merupakan banci keenam yang dilaksanakan setiap 10 tahun sekali sejak penubuhan Malaysia. Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk dan perumahan yang komprehensif sehingga ke peringkat geografi terkecil.
"Data banci akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negeri dan negara," katanya pada sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Sallehuddin berkata, pelaksanaan banci tahun ini dibuat dalam dua fasa berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.
Beliau berkata, fasa pertama pembancian melibatkan mod pengisian soal selidik secara dalam talian iaitu e-Census yang mana Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang telah menghantar poskad MyCensus 2020 kepada lebih 65,000 tempat kediaman.
"Poskad ini mengandungi nombor ID bagi membolehkan isi rumah daftar masuk sistem e-Census. Bagi yang tidak terima poskad, mereka boleh buat pra pendaftaran dalam talian untuk mendapatkan ID dan diberikan ID melalui SMS atau e-mel yang didaftarkan.
"Kaedah ini akan meminimumkan risiko Covid-19 dan meningkatkan keyakinan responden untuk memberi kerjasama manakala fasa kedua akan dibuat menerusi kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI), Paper and Pen Interview (PAPI) dan Drop Off & Pick Up (DOPU)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!