Polis bongkar makmal dadah di Kedah
ALOR SETAR - Polis mematahkan cubaan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah di Taman Kempas, Sungai Petani, dekat sini, sebagai makmal dadah di Kedah, Selasa lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dan JSJN Kedah menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di taman itu dan merampas bungkusan plastik berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 0.453 kilogram (kg) daripada lelaki berkenaan.
"Melalui pemeriksaan lanjut dalam rumah itu, pihaknya menemui dan merampas dua ketulan mampat dadah jenis heroin 'base' dianggarkan seberat 0.766 kg dan sembilan bungkusan plastik berisi dadah jenis heroin seberat 3.543 kg.
"Turut dirampas dua bungkusan plastik bertulis 'Guanyingwang' berisi dadah jenis syabu seberat 1.684 kg, lapan bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 0.854 kg serta 12 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu berwarna merah jambu seberat 0.715 kg, " katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan turut menemukan tiga kotak kafein seberat 75 kg, satu bungkusan plastik berisi kafein seberat 1.039 kg, empat botol berisi cecair bertulis 'chloroform' sebanyak 6.8 liter dan peralatan memproses serta membungkus dadah.
"Melalui penangkapan lelaki itu, pihaknya menjalankan operasi susulan dan menahan dua lagi lelaki di tepi jalan di Taman Temusu, dekat sini," katanya.
Zainuddin berkata, siasatan mendapati tiga lelaki berusia antara 31 hingga 34 tahun dengan salah seorang daripadanya bekerja sebagai juruteknik manakala dua lagi adalah penganggur.
"Berdasarkan bahan-bahan rampasan, polis percaya berjaya menyekat percubaan beberapa individu cuba membuka tempat pemprosesan dadah ataupun makmal dadah haram di sekitar negeri ini," katanya.
Zainuddin berkata, pihaknya juga sedang menyiasat salah seorang daripada tiga suspek terbabit yang didakwa memiliki kemahiran untuk memproses sendiri dadah berdasarkan penemuan beberapa peralatan memproses dadah.
"Kita juga percaya penahanan suspek ada kaitan dengan kes pengedaran dadah di Pulau Pinang dipercayai makmal dadah cuba dipindahkan dari negeri berkenaan ke Kuala Muda," katanya.
"Dalam operasi itu, kita membuat sitaan sebuah kereta jenis Toyota Altis, kereta jenis Perodua Myvi (1), kereta jenis Volkswagen Golf (1), motosikal jenis Yamaha NVX (1) dan wang tunai dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM209,000," kata beliau lagi.
Menurutnya, tiga suspek itu ditahan reman selama tujuh hari sejak 22 Julai lepas sehingga 28 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!