Econsave, Armada Sejati prihatin nasib Mohd Rizuan
PASIR GUDANG - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul mungkin perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan ketabahan sebuah keluarga di Taman Kota Masai di sini untuk menjaga salah seorang ahli keluarga mereka yang tidak berupaya menjalani kehidupan seperti insan biasa.
Mohd Rizuan Abd Samad, 20, tidak mempunyai anak tekak sejak lahir menerima kasih sayang melimpah ruah daripada bapanya, Abd Samad Duki, 61 dan ibunya, Mariah Mahat, 53 serta abangnya, Aliosman, 23.
Menurut Aliosman, anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak boleh bercakap tetapi hanya merengek jika mahu makan.
Katanya, demi Mohd Rizuan, pendapatan sebagai pemandu lori digunakan untuk membeli keperluan adiknya itu seperti lampin pakai buang dan ubat- ubatan.
"Setiap hari adik perlukan satu tin makanan multi bijirin beras soya. Itu sahaja yang dia makan. Satu tin berharga RM12. Adik tidak boleh cakap, tetapi saya, ibu dan ayah memahami keadaan adik sejak dari kecil. Bila dia merengek kami tahu dia hendak makan dan minum. Cuma sekarang adik kerap terkena sawan," katanya ketika ditemui di kediaman mereka.
Keluarga Aliosman dikunjungi oleh Armada Sejati bersama wakil Pasaraya Econsave Taman Scientex sempena Program Ziarah Prihatin Aidiladha, semalam.
Sempena program itu, lebih 50 ahli Armada Sejati menyertai program berkenaan yang menjelajah ke kawasan Parlimen Pasir Gudang dan Tebrau bagi menghulurkan sumbangan kepada 10 golongan kurang bernasib baik.
Calon Exco Armada Nasional merangkap Naib Ketua Armada Bahagian Sungai Buloh, Adi Farhan Datuk Isa berkata, Armada Sejati telah turun padang menjelajah ke seluruh negara bermula di Kuala Lumpur sejak Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dimulakan pada Mac lalu.
Katanya, jelajah diadakan bertujuan membantu mereka yang terjejas akibat PKP melalui sumbangan barangan keperluan.
"Kita mahu Armada terus menjalankan tanggungjawabnya membantu masyarakat sebagaimana yang diseru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) Tan Sri Muhyidin Yassin," katanya.
Bagi seorang lagi calon Exco Armada Nasional yang juga Ketua Armada Hang Tuah Jaya, Muhammad Afiq Nazmi, dia melihat semangat anak muda di dalam Armada masih tinggi dalam membantu masyarakat.
Sementara itu Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, dia amat berbesar hati dapat menjayakan program membantu masyarakat seperti itu.
Katanya, sejak PKP, Econsave banyak menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk barangan termasuk sayur- sayuran kepada penduduk yang terjejas akibat PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!