Pindah kes Rosmah ke Mahkamah Tinggi untuk keadilan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memohon supaya kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menerima dan memberi rasuah berhubung projek tenaga solar, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana mahkamah itu mempunyai bidang kuasa yang lebih luas berbanding Mahkamah Sesyen.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, ia juga bagi memberi suai manfaat dan keadilan terhadap kes itu.

“Ini bagi memastikan kes tersebut berakhir dengan cara yang lebih wajar. Sekiranya kes ini dimulakan di Mahkamah Tinggi, maka rayuannya boleh didengar sehingga ke Mahkamah Persekutuan, jika ada sebarang isu undang-undang yang kompleks timbul, ia akan diselesaikan di Mahkamah Persekutuan,” kata Ahmad Akram.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Rosmah belum dipindah ke Mahkamah Tinggi

Beliau berhujah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah, 67, yang hadir ke mahkamah berbaju kurung kuning, memohon diberikan masa untuk memfailkan afidavit bantahan terhadap permohonan memindahkan kes tersebut.

“Kami perlu meneliti 370 muka surat dokumen berkaitan kes itu dan anak anak guam kami (Rosmah) juga berasakan kes ini sengaja dilaksanakan secara tergesa-gesa, mohon kami diberikan masa,” kata peguam itu.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mac untuk mendengar hujahan peguam dan pendakwaan berhubung permohonan memindahkan kes itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!